Langkah-langkah menangani masalah jerebu (Karangan)
Pada masa sekarang,
arus globalisasi yang semakin menerjah di seluruh dunia telah banyak membawa
perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam
keghairahan mengejar arus kemodenan ini,
kita sering dikhabarkan dengan situasi
negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin
menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini sentiasa
meniti di mulut orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan
yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda
dengan krisis jerebu? Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu
diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Kerajaan merupakan jawapan dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih berat agar mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana “sudah terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara.
Seterusnya, Jabatan Alam Sekitar hendahlah bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani
masalah jerebu ialah pembenihan awan perlu dilaksanakan demi menyekat keadaan
jerebu daripada menular. Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca kering dan
kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan jerebu. Maka,
kerja pembenihan awan perlu dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca
kering, suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang
sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin
perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais
kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air
kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat
daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila
keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh
ke bumi, justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan pembenihan awan.
Akhir sekali,tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu. Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak mereka, mereka perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”. Berpegang pada prinsip “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam memelihara kebersihan udara. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda.
Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.
Sekian,terima kasih.
Comments
Post a Comment